Thomas Edision
Dilahirkan di Milan, Ohio, Thomas Edision ialah anak bongsu serta anak ketujuh kepada Samuel Ogden Edison, Jr. (1804-1896; dilahirkan di Marshalltown, Nova Scotia, Kanada) dan Nancy Matthews Edison nee Elliott (1810-1871). Keluarganya berasal dari Belanda.
Di sekolah, fikiran Edison yang muda sering melayang-layang dan
gurunya, Reverend Engle, kedapatan mengatakannya "bercelaru". Ini
menamatkan persekolahan Edison yang telah berlangsung selama tiga bulan.
Edison kemudian mengenangkan, 'Ibukulah yang menyebabkanku berjaya. Dia
amat menyayangiku, begitu percaya akan aku; dan aku berasa aku
mempunyai suatu tujuan untuk hidup, suatu orang yang harus aku tidak
mengecewakan." Ibunya kemudian mengajarnya di rumah.Kebanyakan daripada
pendidikannya datang daripada membaca buku Richard Green Parker, Aliran Fikiran Falsafah Semula Jadi.
Punca kepekakan Edison dikatakan diakibatkan oleh demam marak semasa kanak-kanak serta juga oleh jangkitan telinga tengah
berulang yang tidak dirawat. Pada sekitar pertengahan kerjayanya,
Edison mengaitkan hilang pendengarannya kepada suatu peristiwa yang
berkaitan dengan seorang konduktor kereta api yang menampar telinganya ketika makmal kimianya
terbakar di dalam sebuah gerabak. Pada tahun-tahun kemudian, beliau
mengubah suai ceritanya dan mengatakan bahawa kecederaan itu berlaku
apabila seorang konduktor yang bertujuan untuk membantunya memasuki
gerabak kereta api yang sudah bergerak mengangkat telinganya.
Keluarga Edison terpaksa berpindah ke Pelabuhan Huron, Michigan apabila landasan kereta api memirau Milan, tetapi kehidupannya di Michigan pahit manis. Beliau menjual gula-gula dan akhbar di dalam keretapi-keretapi yang berulang-alik dari Pelabuhan Huron ke Detroit.
Edison kemudian menjadi seorang operator telegraf
selepas menyelamatkan Jimmie MacKenzie yang berumur tiga tahun daripada
dilanggar oleh sebuah kereta api yang tidak terkawal. Bapa Jimmie yang
merupakan seorang ejen stesen J.U. MacKenzie dari Gunung Clemens, Michigan
berasa terhutang budi sehingga melatih Edison menjadi seorang operator
telegraf. Selepas latihan selama tiga bulan, Edison menguasai kemahiran
dan digaji oleh sebuah pejabat telegraf yang dimiliki oleh Western Union.
Kepekakan Edison dikatakan membantunya kerana ia menyekat bunyi-bunyi
dan menghalang Edison daripada mendengar operator telegraf yang duduk di
sebelahnya. Salah satu mentornya pada masa awal itu ialah seorang rakannya yang juga operator telegraf serta juga pereka yang bernama Franklin Leonard Pope. Pope membenarkan pemuda yang miskin ini tinggal dan bekerja di tingkat bawah tanah rumahnya di Elizabeth, New Jersey.
Albert Einstein
Albert Einstein (14 Mac 1879 – 18 April, 1955) adalah seorang ahli fizik teori berbangsa Jerman yang telah dipandang sebagai ahli sains yang teragung pada abad ke-20. Beliau mengemukakan teori kerelatifan dan membuat banyak sumbangan utama kepada perkembangan mekanik kuantum, mekanik statistik dan kosmologi. Einstein telah dianugerahkan dengan Hadiah Nobel dalam bidang Fizik pada tahun 1921 bagi penjelasannya mengenai kesan fotoelektrik dalam tahun 1905 serta "khidmatnya kepada Fizik Teori".
Selepas teori relatif amnya dirumus pada November 1915, Einstein mencapai kemashyuran di seluruh dunia. Dalam budaya pop, namanya sering disinonimkan dengan kecerdasan.
Dilahirkan di Ulm di selatan negera Jerman anak kepada Hermann Einstein dan Pauline, Einstein dibesarkan di Munich. Walaupun beragama Yahudi, keluarganya tidak mengamalkan agama.
Einstein tidak berupaya bertutur sehingga berumur tiga tahun. Menurut
teori terbaru tentang perkembangan mentalnya, beliau dianggap menghidapi
sindrom Asperger, sejenis penyakit yang berkaitan dengan autisme.
Pada tahun 1894, keluarga Einstein berpindah ke Milan selepas kegagalan perniagaan elektrokimia ayahandanya. Einstein dihantar oleh ibubapanya ke Switzerland
untuk menghabiskan pendidikan menengah selepas kegagalannya dalam
peperiksaan kemasukan "Institut Teknologi Persekutuan Swiss" (Eidgenössische Technische Hochschule) di Zurich disebabkan kegagalannya bahagian sastera walaupun beliau sungguh kukuh dalam bahagian sains dan matematik. Pada 1896, Einstein menyerahkan kerakyatan Jermannya untuk mengelakkan pengerahan tentera dan menjadi seorang yang tidak bernegara.
Selepas menghabiskan pendidikan menengahnya, Einstein memasuki
Institut Politeknik Zurich selama empat tahun untuk mengambil pengajian
perguruan bagi mengajar sains di sekolah menengah. Walaupun cerdik, beliau bukan merupakan seorang penuntut yang luar biasa. Pada tahun 1900, Einstein mencapai diploma perguruannya dan diterima sebagai rakyat Switzerland pada 1901.
Pada 1902,
seorang anak perempuan luar nikah yang dilahirkannya selepas Einstein
jatuh hati pada Mileva Mariv, seorang penuntut kolejnya yang berbangsa Hungary. Beliau tidak pernah melihat anaknya yang diserahkan untuk dijadikan anak angkat. Dua tahun kemudian, mereka berkahwin dan mempunyai dua anak lelaki, iaitu Hans dan Eduard Albert. Hans menjadi seorang profesor dalam kejuruteraan hidraulik di Universiti California, Berkeley, sedangkan Eduard menghidapi skizofrenia dan kemudian maut di rumah sakit otak.
Pada tahun 1905, Einstein mencapai ijazah kedoktorannya selepas penyerahan tesisnya, "Cara baru untuk menentu dimensi molekul" ("Eine neue Bestimmung der Moleküldimensionen").
Einstein bercerai dengan Mileva pada 1919 dan berkahwin dengan Elsa Löwenthal, saudari sepupunya yang berumur tiga tahun lebih daripada Einstein. Elsa telah menjaganya sewaktu beliau menghidapi penyakit patah jiwa serta penyakit perut yang amat teruk. Mereka tidak mempunyai sebarang anak daripada perkahwinan ini.
Einstein mati pada pukul 1.15 pagi, 18 April 1955 di Hospital
Princeton di New Jersey. Mayat beliau dibakar pada hari yang sama tanpa
sebarang adat istiadat di Trenton, New Jersey mengikut hasratnya. Abu mayatnya disebar di lokasi yang tidak dapat dipastikan.
Dr. Thomas Stoltz Harvey, ahli patologi yang melaksanakan autopsi Einstein, telah mengawet otaknya. Walau bagaimanapun, Harvey tidak mendapati sebarang yang luar biasa mengenai otak Einstein, akan tetapi pada 1999, analisis lanjutan oleh sepasukan di Universiti McMaster mendedahkan bahawa otak Einstein tidak mempunyai bahagian operkulum parietal. Sebagai ganti, lobus parietal inferiornya lebih lebar sebanyak 15% daripada yang biasa. (Bahagian parietal inferior bertanggungjawab kepada pemikiran matematik, kognisi visuospatial, dan imejan pergerakan.) Otak Einstein juga didapati mengandungi 73% lebih banyak sel glia daripada otak yang biasa.
Archimedes
Archimedes (bahasa Yunani: 287 SM – 212 SM) adalah seorang ahli matematik, ahli fizik, jurutera, ahli astronomi, dan ahli falsafah Yunani yang dilahirkan di bandar pelabuhan tanah jajahan Syracuse, Sicily, Itali. Beliau telah dianggap oleh sesetengah ahli sejarah matematik sebagai salah satu daripada ahli-ahli matematik kuno yang terutama. Carl Friedrich Gauss
yang sering dipanggil sebagai ahli matematik yang paling terpengaruh,
mendakwa bahawa Archimedes adalah salah satu daripada tiga ahli
matematik yang paling penting (yang lain itu ialah Isaac Newton dan Ferdinand Eisenstein). Selain daripada sumbangan-sumbangan teori asasnya kepada matematik, Archimedes juga membentuk bidang-bidang fizik dan kejuruteraan amali, dan telah dirujuk sebagai "ahli sains yang teragung".
Biografi ringkas
Archimedes ialah saudara kepada keluarga pemerintahan Syracuse (Saracussia), sebuah kemaharajaan bandar pelabuhan. Raja Hiero II
yang, menurut khabar angin, merupakan bapa saudara Archimedes,
menitahkannya untuk mereka bentuk dan memasang siap sebuah kelas kapal
yang baru untuk angkatan tentera laut yang amat penting untuk
mengekalkan kelas pemerintahan di Syracuse. Hiero II telah berjanji
memberikan banyak biji-bijian kepada Rom di utara sebagai ganti untuk
keamanan. Menghadapi perang apabila tidak dapat menunaikan janjinya,
Hiero II menitahkan Archimedes untuk mengembangkan sebuah baj
mewah/bekalan/perang besar yang dapat diubahkan mengikut
keperluan-keperluan angkatan tentera laut yang berubah-ubah. Mengikut
khabar angin, Skru Archimedies sebenarnya merupakan suatu rekaan yang
tidak sengaja kerana dia memerlukan suatu alat untuk membuang air bilga.
Kapal itu yang dinamakan Saracussia sempena negaranya mungkin merupakan
sebuah mitos. Tidak terdapat rekod seni faundri atau barang-barang lain
untuk menyokong ciptaan ini. Kapal ini hanya disokong oleh huraian Plato yang mengatakan bahawa "ia merupakan persamaan paling megah yang pernah belayar."
Archimedes diberikan penghargaan untuk banyak rekaan dan temuan, dengan sebilangannya masih digunakan pada hari ini seperti skru Archimedes.
Dia masyhur untuk kapi majmuk, sebuah sistem kapi yang digunakan untuk
mengangkat beban-beban yang berat seperti kapal. Archimedes membuat
banyak mesin perang untuk Hiero II, penaung dan kawannya. Dia juga
menghasilkan banyak karya mengenai geometri
yang termasuk mengira luas permukaan dan isi padu pepejal dengan tepat.
Karya yang memberikannya kemasyhuran ialah teori jasad-jasad terapung.
Dia menyediakan hukum-hukum pengapungan dan mengembangkan prinsip
Archimedes yang masyhur.
Galileo Galilei
Galileo Galilei (15 Februari, 1564 – 8 Januari, 1642) merupakan ahli nujum, ahli fizik, ahli astronomi dan ahli falsafah yang telah dikait rapat dengan revolusi sains.
Dilahirkan kepada Vicenzo, seorang ahli muzik yang terkenal, Galileo berminat mengkaji bintang. Dalam tahun 1609, Galileo telah mencipta teleskop yang pertama. Teleskopnya telah membantunya mengkaji tompok matahari dan planet Zuhrah. Beliau juga menemui hukum gerakan pertama dan kedua yang telah memberi sokongan yang berkesan kepada teori Copernicus.
Oleh kerana pencapaian-pencapaianya, Galileo telah dianugerahkan
sebagai "Bapa Astronomi Moden", "Bapa Fizik Moden" serta "Bapa Sains".
Kerja ujikajinya telah dianggap sebagai pelengkapa kepada karya-karya Francis Bacon dalam pengasasan kaedah sains moden. Kerjaya Galileo berbetulan dengan kerjaya Johannes Kepler. Kerjayanya juga dianggapi sebagai penyimpangan daripada kerjaya Aristotle. Konfliknya dengan Gereja Roman Katolik
telah diambil sebagai contoh awal yang utama bagi konflik antara kuasa
dengan kebebasan pemikiran, khususnya dalam bidang sains di masyarakat Barat.
Biografi
Dilahirkan di Pisa, Itali, Galileo merupakan anak sulung kepada Vincenzo Galilei, seorang ahli matematik dan muzik yang dilahirkan di Florence pada tahun 1520. Ibunya Giulia Ammannati. Galileo mempunyai enam adik.
Galileo diajar secara persendirian ketika masih amat kecil. Beliau kemudian menyertai Universiti Pisa tetapi kemudian terpaksa berhenti pembelajarannya disebabkan masalah kewangan. Bagaimanapun, beliau ditawarkan jawatan dalam fakulti universiti itu pada tahun 1589 dan mengajar matematik. Tidak lama kemudian, beliau berpindah ke Universiti Padua dan mengajar geometri, mekanik, dan astronomi sehingga tahun 1610. Semasa itu, beliau memeriksa sains dengan teliti, dan membuat banyak penemuan yang penting.
Walaupun merupakan seorang penganut Katolik
yang warak, Galileo menjadi bapa kepada tiga orang anak luar nikah: dua
orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Kesemua ini merupakan
anaknya dengan Marina Gamba. Disebabkan taraf mereka sebagai anak luar nikah, kedua-dua anak perempuan itu dihantar ke sebuah biara di San Matteo, Arcetri ketika masih kecil:
- Virginia (1600–1634) yang mengambil nama Maria Celeste ketika masuk ke biara dan yang mewarisi otak bapanya yang tajam merupakan anak sulung Galileo yang paling disayangi. Virginia meninggal dunia pada 2 April 1634 ketika berumur 34 tahun, dan kini dikebumikan bersama-sama dengan Galileo di Basilica di Santa Croce di Firenze.
- Livia (lahir 1601) yang mengambil nama Suor Arcangela sentiasa sakit pada sepanjang hayatnya di biara.
- Vincenzio (lahir 1606) kemudian disahkan melalui perkahwinan Galileo dengan Marina Gamba. Dia berkahwin dengan Sestilia Bocchineri.
Pada tahun 1612, Galileo ke Rom untuk menyertai Accademia dei Lincei dan mencerap tompok-tompok matahari. Pada tahun yang sama, tentangan-tentangan muncul terhadap teori-teori Nicolaus Copernicus yang disokong oleh Galileo. Dua tahun kemudian pada tahun 1614, Bapa Tommaso Caccini (1574-1648) mengutuk pendapat-pendapat Galileo terhadap pergerakan Bumi,
dan menganggap pendapatnya sebagai bidaah yang berbahaya dan hampir
menyeleweng. Galileo ke Rom untuk membela diri terhadap tuduhan-tuduhan
itu tetapi pada tahun 1616, Kardinal Roberto Bellarmino
sendiri menegur Galileo supaya jangan menyokong atau mengajar astronomi
Copernicus disebabkan itu berbeza dengan pemahaman Kitab-kitab Suci yang telah diterima.
Pada tahun 1622, Galileo menulis Penganalisis Logam (Saggiatore; bahasa Inggeris:The Assayer) yang diluluskan dan diterbitkan pada tahun berikut. Pada tahun 1624, beliau menghasilkan mikroskop pertama yang diketahui. Kemudian pada tahun 1630, Galileo kembali ke Rom untuk memohon lesen untuk mencetak Dialog Mengenai Dua Sistem Dunia Yang Utama. Karyanya diterbitkan di Florence pada tahun 1632. Bagaimanapun pada bulan Oktober dalam tahun itu, beliau diarahkan tampil di hadapan Pejabat Suci
di Rom di mana mahkamah menjatuhkan hukuman pengutukan dan memaksa
Galileo bersumpah akan meninggalkan faham yang menyeleweng. Oleh itu,
beliau dikurung di Siena dan akhirnya, pada Disember 1633, beliau dibenarkan beredar ke vilanya di Arcetri.
Pada tahun 1634,
Galileo hilang sokongan anaknya yang amat disayangi, Sister Maria
Celeste (1600-1634), yang meninggal dunia secara pramasa. Pada tahun 1638, hampir betul-betul buta, Galileo menerbitkan buku terakhirnya, Dua Sains Baru, di Leiden. Beliau meninggal dunia di Arcetri pada tahun 1642 ketika bersama-sama dengan muridnya, Vincenzo Viviani.
0 comments:
Post a Comment